IPOH, 21 Julai - Seorang lelaki warga emas kerugian RM158,000 selepas terpedaya sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pihak insurans dan polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa berusia 73 tahun itu menerima panggilan daripada syarikat insurans mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan bayaran.
Beliau berkata panggilan tersebut kemudiannya disambung kepada pihak yang mendakwa sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
"Mangsa kemudian diberitahu kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan nilai lebih RM2 juta dan waran tangkap telah dikeluarkan,
"Dalam keadaan panik, mangsa diugut dan diarahkan untuk membuat pelbagai transaksi ke beberapa akaun bank untuk tujuan jaminan diri dan bagi siasatan dalaman," katanya dalam kenyataan hari ini.
ACP Abang Zainal Abidin berkata mangsa telah membuat 12 transaksi ke dalam 12 akaun bank yang berbeza yang diberikan oleh suspek.
Beliau berkata mangsa akhirnya sedar dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Polis sedang mengesan pemilik akaun dan semua suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket ini," katanya. - BERNAMA