KUALA LUMPUR, 21 Julai - Polis merampas rokok dan minuman keras tidak dibayar cukai bernilai lebih RM400,000 serta seekor ular sawa jenis Ball python dalam operasi ke atas sebuah kedai runcit di Kulim, Kedah pada 17 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pada pukul 11.00 pagi itu dilakukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan turut ditahan.
"Selain 118,520 batang rokok, 333 botol dan tin minuman keras tidak dibayar cukai serta ular berkenaan, polis turut merampas 62 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan wang tunai berjumlah RM35,000, dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM416,668," menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kenyataan sama juga menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan undang-undang negara.