fb fb fb fb fb

Minyak sawit, barangan haram bernilai lebih RM600,000 dirampas

Rampasan Palma pada 15 Julai/ JKDNKA

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Bahagian Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman merampas pelbagai barangan haram bernilai lebih RM600,000 dalam satu operasi di Lahad Datu, Sabah pada 15 Julai lalu.

Pengarah JKDNKA Datuk Seri Azmi Abu Kassim dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pada pukul 7.00 malam itu dijalankan bersama pegawai penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melakukan operasi ke atas sebuah stor dalam ladang kelapa sawit serta menahan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 31 tahun.

"Antara yang dirampas sebuah kepala lori bersama tangki berisi 30,000 liter minyak sawit mentah, sebuah van, tiga pam minyak bermotor bersama hos dan tangga serta dram berisi minyak sawit mentah.

"Jumlah keseluruhan rampasan minyak sawit mentah dianggarkan seberat 30,148 tan dengan nilai pasaran RM152,090 dan nilai keseluruhan rampasan dalam operasi ini dianggarkan RM645,890," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan MPOB (Perlesenan) 2005 dan polis turut mengeluarkan lima saman (POL 257) atas kesalahan berkaitan kenderaan seperti LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI