fb fb fb fb fb

Warga emas mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun

KUALA TERENGGANU, 29 November - Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir, minggu lalu.

Tertuduh, 61 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nooriah Osman.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Gong Badak setiap 1 haribulan sehingga selesai kes serta tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding.

31 Disember depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Najmi Adila Md. Nasir.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN