KUALA LUMPUR, 29 November- Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa, hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati adalah pramatang pada peringkat ini untuk membenarkan permohonan Muhyiddin mengubah syarat jaminan bon dan melepaskan pasport tanpa syarat.
Azura berkata, ia adalah kerana Muhyiddin masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram.
Mahkamah kemudian membenarkan bekas Perdana Menteri itu melalui peguamnya Datuk K Kumaraendran mendapatkan pasportnya untuk sementara bermula hari ini dan dikembalikan semula ke mahkamah pada 15 Januari tahun depan.
Pada 16 Oktober lalu, Muhyiddin telah memohon untuk mendapatkan kembali passport beliau atas alasan ingin bercuti dengan keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun ini.
Muhyiddin menegaskan dirinya tiada risiko untuk melarikan diri berdasarkan beberapa sebab termasuk memegang jawatan penting seperti Ahli Parlimen Pagoh, Presiden BERSATU dan Pengerusi PN.
Pada 2 Oktober lalu, Muhyiddin memohon supaya dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta yang dikaitkan dengan projek Jana Wibawa.
Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.