fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ketuai sindiket seludup arak dan dadah

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan barang kes yang dirampas

PASIR GUDANG, 29 November- Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk antara lima yang ditahan disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan arak dan pemprosesan dadah bernilai RM10.37 juta di sebuah premis kilang di Kawasan Perindustrian Taman Pasir Putih, Seri Alam, Johor pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua suspek lelaki termasuk dua warga asing berusia diantara 26 hingga 54 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 7,910 kotak arak tanpa cukai kastam bernilai RM5.538 juta  yang beroperasi sejak November tahun lepas sebelum menemukan sebuah makmal mini haram sebagai tempat memproses dadah jenis ekstasi.

Susulan itu, polis juga membuat rampasan sebanyak 22.84 kilogram serbuk ekstasi, 696 gram pil ekstasi dan 182.90 liter cecair kimia dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.8 juta.

"Kita dah semak dalam sistem dia mempunyai gelaran 'Datuk' dikatakan mengetuai sindiket ini.

"Selain itu, 10 buah kenderaan kita sita buat masa ini  bernilai RM2.5 juta dan seterusnya pelbagai jenis barangan kemas melebihi RM200,000 dan juga wang tunai sebanyak RM235,397 juga disita dalam serbuan,"katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 1 Disember untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),  Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah- Langkah Pencegahan Khas) 1985.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE