fb fb fb fb fb

Rompak barang kemas: 3 Lelaki mengaku tidak bersalah

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, tuduhan rompak barang kemas

KUALA KANGSAR, 29 November- Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan merompak barangan kemas, membabitkan kerugian RM1.4 juta, pada 6 November lalu.

Kesemua tertuduh R.Gunasellan, R.Anandan dan A. Adrian Raj Dominic membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan ketiga-tiga tertuduh bersama enam yang masih bebas didapati telah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata jenis parang panjang kepada Chong Yong Seng, dan Tan Kang Chiat, 26 tahun, dan merompak harta dalam milikannya iaitu pelbagai barang kemas yang mengakibatkan kerugian RM1.4 juta.

Jenayah itu dilakukan di tempat letak kenderaan Jalan Dato Maharajalela, Kuala Kangsar pada pukul 9.40 pagi, 6 November lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan boleh di hukum dibawah peruntukkan yang sama.

Mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan, manakala tertuduh diwakili Tulasi Ayaoo.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai berdekatan sehingga kes selesai. 

Sebutan semula kes pada 29 Disember depan. 

Dalam prosiding sama, R.Gunasellan dan A.Anandan mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan jenis Morphine dan HTC. 

Mereka di dakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama. 

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar ikat jamin selain pengawasan AADK selama dua tahun.

ROSLINA BINTI DIN