fb fb fb fb fb

Warga emas kerugian RM115,000 diperdaya pelaburan bitcoin

FOTO HIASAN

SEREMBAN, 1 Februari - Wang simpanan warga emas berjumlah RM115,000 lesap selepas diperdaya dengan pelaburan bitcoin menerusi platform Accerx yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed dalam satu kenyataan berkata suri rumah berusia awal 60-an itu tertarik dengan pelaburan melalui Accerx selepas melihat iklan di Facebook dan telah berurusan dengan individu melalui aplikasi WhatsApp pada pertengahan Disember tahun lepas.

"Wanita itu membuat enam transaksi pemindahan wang secara dalam talian kepada lima akaun berbeza sejak 19 Disember 2023 hingga 12 Jan lepas, keseluruhan berjumlah RM115, 000 bagi tujuan modal pelaburan menggunakan wang simpanannya.

"Mangsa mendapati pulangan pelaburan tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Accerx miliknya, namun ia gagal dikeluarkan kerana masih perlu membuat pembayaran tambahan,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang menyedari telah diperdaya, membuat laporan polis pada 26 Jan lepas dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

TETITIA YUSOFF