SHAH ALAM, 1 Februari- Polis mengesahkan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di parkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang pegawai perubatan hospital itu pada 8.01 malam hari yang sama.
"Semasa ditinggalkan mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya pada 6 petang.
"Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan.
Hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta selepas diambil dari sebuah taska berdekatan pada pukul 2 petang," katanya.
Jelas Mohd Iqbal, bedah siasat sudah dijalankan pada pukul 2 petang semalam dan punca kematian belum diperoleh kerana masih menunggu analisis makmal.
"Pemeriksaan keatas mangsa juga dapati tiada mempunyai sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman,"katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Mohd Iqbal berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka semasa pulang dari sekolah atau taska terutamanya yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Insp Syer Aidid di talian 013-6544996.