MANJUNG, 12 Mac- Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung atas dua pertuduhan membunuh abang dan kakak iparnya, minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Chee Kooi Heng, 63, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat membunuh Chee Khoi Sia, 74 dan Koh Eng Lai, 70.
Kesalahan tersebut dilakukan di ladang kelapa sawit Lot 3332, Mukim Pengkalan Baharu, Pantai Remis, kira-kira pukul 3.00 petang hingga 3.30 petang pada 5 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Jemain, manakala tertuduh diwakili peguam CC Keong.
Mahkamah menetapkan 29 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
ARTIKEL BERKAITAN
Suami isteri maut dipercayai dibunuh, berebut harta disyaki jadi punca