KOTA BHARU, 12 Mac- Empat penjawat awam serta seorang pelajar sekolah tingkatan empat antara 978 individu yang ditahan di Kelantan berkaitan dadah.
Tangkapan dibuat menerusi Op Tapis Bersepadu dan Op Tapis Khas itu dilaksanakan di seluruh negeri sejak 1 Mac dan berakhir semalam.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, hasil penahanan itu pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk pil yaba membabitkan nilai keseluruhan lebih RM378,000.
Bercakap pada sidang media di Kota Bharu, beliau berkata kesemua suspek yang ditahan berusia antara 15 hingga 91 tahun membabitkan seramai 884 merupakan warga tempatan manakala selebihnya warga asing.
"Empat penjawat awam berkenaan membabitkan dua orang pegawai JPJ (kes ketum), seorang pembantu perawatan kesihatan di Pasir Mas positif methamphetamine, dan seorang pegawai penjara, juga positif methamphetamine,"katanya.
Kes disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.
Pada masa sama, polis turut menyita motosikal, barang kemas dan wang membabitkan nilai keseluruhan lebih RM72,000.