fb fb fb fb fb

Suami isteri maut dipercayai dibunuh, berebut harta disyaki jadi punca

PDRM

MANJUNG, 5 Mac- Polis Perak menahan seorang lelaki disyaki membunuh suami isteri dalam kejadian di sebuah kebun kelapa sawit dekat kawasan Pantai Remis di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 3.30 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan bapa saudaranya telah bergaduh dengan adik lelaki serta isterinya.

“Kejadian disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan di antara kedua-dua mangsa dan suspek.

“Kedua-dua mangsa yang berumur dalam lingkungan 60-an telah ditemukan di dalam kawasan kebun kelapa sawit dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat, bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Nordin berkata, suspek berumur dalam lingkungan 60-an ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung esok bagi permohonan reman.

Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-5087026 untuk membantu siasatan,” katanya.

SITI AISHAH MD ISA