MELBOURNE, 5 Mac- Malaysia akan menyentuh perihal minat Australia untuk lebih akrab dengan ASEAN dan meneruskan kerjasama dengan rantau ini pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di sini, esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak berkenaan berkata, sebagai tanda keseriusan keakraban Australia terhadap ASEAN, negara itu pada Isnin lalu telah mengumumkan dana AS$2 bilion untuk melabur dan bekerjasama dalam pelbagai bidang di ASEAN.
"Tajuknya masih terikat kepada kerjasama ASEAN-Australia, isu pelaburan, kerjasama dalam melihat isu-isu dalaman soal digital, transisi tenaga. Itu antara perkara yang harus kita bicarakan,” katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia di sini.
Tambah Anwar, inti pati kenyataan beliau esok akan turut mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan kepada Australia dan New Zealand yang telah menyatakan sikap mereka mendukung usaha untuk menghentikan serangan dan menyuarakan hasrat dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Kedua-dua negara berkenaan dijadual akan hadir pada sidang tersebut.
Sidang kemuncak berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC) itu juga menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog Australia dengan ASEAN.