fb fb fb fb fb

PM baharu Pakistan, Shehbaz jemput Anwar lawat Pakistan

Shehbaz Sharif dan Anwar Ibrahim

NEW DELHI, 5 Mac- Perdana Menteri Pakistan yang baharu, Shehbaz Sharif menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat negaranya semasa kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan bilateral yang lebih teguh melalui panggilan telefon.

Semalam, Anwar telah menelefon Shehbaz untuk mengucapkan tahniah kepadanya kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-24 Pakistan.

"Perdana Menteri telah mengundang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk melawat Pakistan. Sambil menerima undangan itu, Perdana Menteri Malaysia juga telah menjemput PM Shehbaz Sharif untuk melawat negaranya," lapor agensi berita negara itu, Associated Press of Pakistan (APP).

Kedua-dua mereka menekankan kepentingan pertukaran tingkat tinggi secara berkala untuk membina hubungan yang lebih utuh antara Pakistan dan Malaysia.

Selain hubungan bilateral, kedua-dua pemimpin juga membincangkan situasi di Gaza, menurut laporan APP.

Shehbaz menghadapi cabaran berat untuk menstabilkan ekonomi dan menenangkan ketegangan politik antara kerajaan gabungan yang dipimpin oleh parti beliau Liga Muslim-Nawaz (PML-N) dan pembangkang Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) bekas Perdana Menteri, Imran Khan.

Tiada parti yang mendapat majoriti mudah di Dewan Perundangan selepas pilihan raya 8 Februari lepas.

Shehbaz dipilih ke jawatan tertinggi pada Ahad lalu dengan sokongan daripada parti-parti lain termasuk Parti Rakyat Pakistan (PPP) -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA