fb fb fb fb fb

Warga China didenda RM800, ceroboh kawasan Parlimen

Warga China Li Zhechen, dikenakan denda sebanyak RM800 selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan Parlimen pada minggu lalu

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Seorang warga China, Li Zhechen, dikenakan denda sebanyak RM800 selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan Parlimen yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Hukuman tersebut dijatuhkan Majistret Arunjothy Selvaraju mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah.

Li juga diarahkan menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Menurut fakta kes, pada 9 Julai, Li telah memasuki kawasan Parlimen dengan tujuan merakam gambar dan video.

Dia kemudiannya ditahan anggota polis yang bertugas pada hari tersebut.

Tertuduh tiba di negara ini pada 5 Julai lalu menggunakan visa pelancong.

Ketika prosiding rayuan hukuman, peguam Li, Lee Ewe Kiang, memohon maaf kepada mahkamah bagi pihak anak guamnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Adiba Iman Hassan, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang bersifat pengajaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI