fb fb fb fb fb

Wanita warga emas hilang sejak petang semalam masih belum ditemui

Sembilan anggota dari BBP Sri Aman digerakkan ke lokasi serta memulakan operasi SAR, Foto / RTM

SRI AMAN, 1 Oktober - Seorang wanita warga emas dari Rumah Rengkang, Lepong Empeliau di Sri Aman dilaporkan hilang sejak petang semalam, selepas kali terakhir berada di kebunnya.

Pusat Gerakan Operasi, Bomba Sarawak memaklumkan, warga emas berkenan dikenali sebagai Tumbu Nak Landa, 67 tahun.

Wanita itu yang juga Orang Kurang Upaya tidak ditemui oleh ahli keluarganya yang telah berusaha mencari di sekitar kawasan rumah.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kes tersebut pukul 11.13 pagi tadi, selepas usaha penduduk kampung mencari wanita tersebut juga gagal.

Susulan itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman digerakkan ke lokasi serta memulakan operasi mencari dan menyelamat, SAR pukul 3.00 petang di sekitar lokasi terakhir wanita itu berada.

SAR ditangguhkan pukul 5.00 petang tadi dan akan disambung esok.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN