fb fb fb fb fb

Wanita kerugian RM106,400 akibat sindiket penipuan

Foto fail

MUAR, 1 September -  Seorang wanita berusia 27 tahun mengalami kerugian sebanyak RM106,400 selepas diperdaya oleh sindiket penipuan melalui telefon sejak 29 Ogos lalu.

Laporan polis mengenai kejadian tersebut telah diterima semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, memaklumkan bahawa sindiket penipuan ini melibatkan lima individu yang berlainan.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang menyamar sebagai kakitangan Shopee Malaysia telah menghubungi mangsa dan mendakwa dia terlibat dalam penjualan produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu lain yang juga menyamar sebagai pegawai polis, memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai satu waran tangkap kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dan kes dadah.

Susulan itu, mangsa telah memberikan maklumat peribadinya kepada suspek.

Dia kemudiannya diminta untuk memajakan barang kemas dan memindahkan wang hasil pajakan tersebut ke empat akaun bank yang berlainan.

Mangsa sedar bahawa dia telah diperdaya selepas curiga terhadap tindakan suspek yang masih meminta pembayaran tambahan.

Polis menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan yang melibatkan tuntutan wang atau maklumat peribadi.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Trainee