fb fb fb fb fb

Polis cedera diserang suspek guna gunting pokok

Polis berpangkat lans koperal cedera di kedua-dua lengan setelah diserang dengan dua bilah gunting pokok/Foto Polis

KOTA BAHRU, 31 Ogos - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera di kedua-dua lengan setelah diserang dengan dua bilah gunting pokok ketika menangkap seorang suspek dalam kes jenayah di sebuah rumah di Kampung Kijang, Badang, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 1 pagi ketika anggota berusia 31 tahun itu bersama rakan sepasukannya dari Balai Polis Badang sedang menjalankan operasi untuk menangkap suspek yang terlibat dalam satu kes perbuatan khianat.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, DCP Mohd Ali Tamby, memaklumkan bahawa ketika usaha tangkapan dilakukan, suspek yang berusia awal 30-an tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang polis menggunakan dua bilah gunting pokok yang besar.

“Keadaan itu menyebabkan suspek mencederakan kedua-dua belah lengan salah seorang anggota polis yang terlibat.

“Polis kemudian mengarahkan lelaki itu untuk memberi kerjasama dan menyerahkan diri, namun suspek masih bertindak agresif dengan terus menyerang anggota bertugas secara bertubi-tubi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhd Ali berkata, demi mempertahankan diri dan keselamatan awam, polis bertindak melepaskan satu das tembakan yang mengenai peha kiri suspek.

Suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mendapatkan rawatan, dan kini berada dalam keadaan stabil.

Suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 5 Ogos untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, manakala suspek turut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN