SHAH ALAM, 31 Ogos - Seorang pesara wanita berusia 64 tahun mengalami kerugian RM1.98 juta selepas terjerat dalam sindiket penipuan cinta yang melibatkan bungkusan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4.10 petang pada Jumaat di Bukit Jelutong.
"Mangsa berkenalan dengan suspek melalui media sosial. Suspek kemudiannya meminta mangsa untuk menebus bungkusan dengan membuat 12 transaksi ke 12 akaun tidak dikenali sejak Mei lalu," katanya menerusi kenyataan.
Hussein berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang merangkumi kesalahan menipu dan mendorong secara tidak jujur supaya harta diserahkan.