fb fb fb fb fb

KPDN, PDRM tumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi

FOTO FAIL

KUDAT, 1 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi melalui serbuan ke atas tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lalu.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, memaklumkan bahawa dalam serbuan tersebut, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi dari pelbagai jenama telah disita.

Selain itu, pihak berkuasa turut merampas beberapa kenderaan dan dokumen seperti invois jualan dan belian.

Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga asing telah ditahan untuk membantu siasatan.

β€œIni merupakan antara kes terbaharu yang melibatkan ketirisan, penyelewengan, dan penyeludupan minyak masak paket,” Datuk Armizan berkata selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di Kudat.

Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa sindiket ini, yang disyaki didalangi oleh sebuah syarikat pemborong minyak masak berlesen, bertujuan menyeleweng dan memindahkan minyak masak bersubsidi untuk dijual pada harga lebih tinggi serta diseludup ke negara jiran.

Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, termasuk mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi.

Datuk Armizan turut menegaskan bahawa syarikat pembungkus akan turut disiasat sekiranya jenama tertentu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan.

Trainee