fb fb fb fb fb

Wanita dipenjara 3 tahun, miliki bahan berkaitan Daesh

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 Januari- Seorang bekas pegawai pemasaran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaini Sarwan, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Mahkamah turut memutuskan hukuman itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Mei lepas.

Mengikut pertuduhan, Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan pengganas dalam komputer ribanya serta memiliki lima buku berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan pengganas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

Harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon hukuman berat berikutan kesalahan tertuduh memberi impak besar kepada keselamatan negara, sekiranya jenayah itu tidak dibendung.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE