fb fb fb fb fb

Wanita didakwa pecah amanah RM1.9 juta, mengaku tidak bersalah

Foto fail/RTM

BALIK PULAU, 3 Oktober -Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas empat pertuduhan pecah Amanah wang syarikat berjumlah lebih RM1.9 juta.

Tertuduh, Chuan Chin Ghee, 29 tahun membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas dibacakan kesemua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai akauntan didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat 231 kali pemindahan wang berjumlah RM1,919,899.55 daripada akaun bank syarikat ke akaun bank miliknya.

Kesalahan itu dilakukan bermula 6 November 2020 hingga 22 Mei 2023 di Wings Freight Express Sdn Bhd di Batu Maung.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan denda.

Kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong dan tertuduh diwakili  peguam M. Puveneswaran.

 Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, serta syarat tambahan yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Mahkamah menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula kes.

TETITIA YUSOFF