fb fb fb fb fb

Wanita dekati Sultan Perak didakwa

Nurshazwani Afni Mohamad Zorki didakwa hari ini kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah

IPOH, 8 September - Wanita yang mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurshazwani Afni Mohamad Zorki, 41 tahun didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, kira-kira pukul 8.20 pagi pada 31 Ogos lalu.

Pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Nurhaswani mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul memohon tiada pengakuan direkodkan memandangkan laporan awal dari Hospital Bahagia Ulu Kinta menunjukkan tertuduh menghidap skizofrenia.

Pihak pendakwaan memohon perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk mendapatkan penilaian psikiatri lanjut bagi menentukan tahap kewarasannya dan kelayakan untuk dibicarakan.

Mohd Harith memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri lanjut bagi mendapatkan laporan penuh sebelum prosiding diteruskan.

Tiada jaminan ditawarkan dan memerintahkan tertuduh dirawat di hospital manakala kes akan disebut semula pada 8 Oktober depan.

Trainee