KUANTAN, 8 September - Polis Pahang akan melupuskan 15 jenis dadah bernilai lebih RM519,000 yang melibatkan barang kes dari tahun 2011 sehingga tahun 2025, pukul 12 tengah hari esok.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, keputusan itu selepas mendapat perintah berikutan prosiding mahkamah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman dikenakan terhadap pesalah kes terbabit tamat.
"Anggaran keseluruhan barang dimusnahkan ini bernilai RM519,158.78 dan perlupusan ini akan dilaksanakan oleh naza, iaitu kontraktor bertauliah dan akan dimusnahkan di Bukit Tagar Bestari Jaya, Selangor", katanya.
Antara dadah yang akan dilupuskan adalah, heroin seberat 3358.774 gram, Methamphetamine (1705.838 gram), Cannabis (727.225 gram), Ketamin (71.12 gram), Nimetazepam (72.555 gram), Yaba (200.1 gram), Ecstasy (171.9 gram), Air Ketum (2908.617 Liter dan Daun Ketum (69164.843 gram).
Selain itu, Codeine (0.421 Liter), Diphenhydramine (26.151 Liter), Etizolam (2.29 gram), Chemical (0.3 Liter) Pil Psikotropik (4.80 gram) dan lain-lain bahan (0.43 liter dan 36.27 gram).
Beliau berkata demikian pada sidang media pelupusan barang kes dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang di Ibu Pejabat Polis Kotinjen Pahang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang telah melaksanakan 9,365 tangkapan dengan 8,252 kes berkaitan dadah bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.
Bagi tempoh sama, sebanyak 144 operasi telah dijalankan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri Pahang.