fb fb fb fb fb

Tukang masak ditahan miliki dadah lebih 6,000 gram

(FOTO PDRM KLUANG)

KLUANG, 12 Oktober- Seorang tukang masak di Johor ditahan selepas memiliki dadah jenis ecstasy dan ketamin bernilai RM447,647 pada Ahad lalu.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di Taman Sam Hoe di sini dalam serbuan polis, kira-kira pukul 11.00 pagi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebanyak 6083.18 gram serbuk ecstasy bernilai kira-kira RM446,000 dan 7.70 gram ketamine bernilai RM1,155 ringgit dirampas. 

Sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM2,000 turut disita polis.

"Dadah ini untuk pasaran tempatan dan diedarkan kepada kenalan-kenalan rapat sahaja. Pasarannya adalah di Kluang dan Batu Pahat.

"Jumlah rampasan dadah dapat menampung untuk 1,000 orang dalam satu-satu masa. Ia digunakan di pusat hiburan dengan cara mencampurkan dalam air minuman," katanya dalam kenyataan.

Suspek ditahan reman sehingga 14 Oktober bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian saringan dadah terhadap suspek adalah positif methamphetamine, ketamin dan benzodiazepin," katanya.

(FOTO PDRM KLUANG)

Media Baharu