fb fb fb fb fb

Tujuh individu termasuk seorang warga Singapura direman tujuh hari

Majistret tiba di perkarangan IPD Seri Alam pada pukul 9.30 pagi

JOHOR BAHRU, 18 Mei - Tujuh individu termasuk seorang warga Singapura direman seminggu bermula hari ini hingga 24 Mei bagi membantu siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.

Perintah reman terhadap ketujuh-tujuh individu yang berusia antara 19 hingga 62 tahun, dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, bagi membolehkan siasatan kes dijalankan mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.

Kesemua mereka diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan termasuk peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, Sulaiman Zamani dan Muhammad Zahier Rosli kecuali seorang yang merupakan warga Singapura.

Mereka yang direman melibatkan lima ahli keluarga dan dua orang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Semalam, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun maut akibat ditembak dan ditetak oleh seorang suspek yang merupakan ahli Jemaah Islamiah.

Mereka akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Bidor, Perak dan Gambang Pahang.

Manakala, seorang lagi anggota polis yang cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul masih dirawat di Hospital Sultan Ismail.

TETITIA YUSOFF