KUALA LUMPUR, 18 Mei - Satu sindiket penyeludupan manusia, berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan tertangkapnya seorang suspek warga Bangladesh berusia 33 tahun.
Turut ditahan, tujuh individu terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang dibawa masuk secara haram ke negara ini dalam Operasi Khas di sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua warga asing yang ditahan berusia 21 hingga 38 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kediaman dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan di lot parkir premis tersebut.
“Suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas sebelum hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki memainkan peranana sebagai transporter berusia lingkungan 33 tahun bersama dua orang PATI lelaki warga Bangladesh," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, modus operandi sindiket, membawa PATI terutama warga Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam.
Siasatan awal juga mendapati, sindiket mengenakan bayaran RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap PATI yang masuk ke negara ini.
Suspek ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Manakala, PATI yang lain ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta ATIPSOM 2007.
Kesemua PATI dibawa ke Depoh Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.