fb fb fb fb fb

Tuduhan pecah amanah, pengusaha kedai dobi didakwa

AYER KEROH, 16 Februari- Seorang pengusaha kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas dua tuduhan melakukan pecah amanah dan melanggar kontrak perjanjian bernilai lebih RM3.2 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Terrence Conrad Fernandez, 43 tahun, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh melanggar kontrak dengan tidak menghantar sejumlah mesin dobi bernilai lebih RM3.2 juta milik sebuah syarikat ke sebuah premis yang disewa di Pulau Pinang sebagaimana diamanahkan.

Sebaliknya tertuduh dikatakan meletakkan kesemua mesin dobi berkenaan di sebuah premis yang disewa syarikatnya di Kuantan, Pahang.

Perbuatan didakwa dilakukan di sebuah kilang di Jalan P-K 8, Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka pada Januari 2019.

Terrence turut didakwa melanggar kontrak dengan tidak membayar wang sewaan milik sebuah syarikat sebanyak RM24,000 kepada premis yang disewa di Pulau Pinang bagi tujuan meletakkan sejumlah mesin dobi berkenaan.

Sebaliknya, tertuduh dikatakan memasukkan duit sewaan itu ke dalam akaun miliknya untuk membayar sewa premis di Kuantan.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Mohamad Tahir, manakala tertuduh diwakili Peguam, James S. Thanjong Tuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac depan.


(FOTO FAIL)

Media Baharu