fb fb fb fb fb

Tonto terima rasuah lebih RM100,000 dari 10 syarikat lori

MELAKA, 14 Februari - Seorang tonto mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas 43 tuduhan menerima suapan sebanyak RM101,625 daripada 10 syarikat pengangkutan lori, sejak 2016.

Tertuduh, Norsham Ahmad, 51 tahun, membuat pengakuan itu sejurus kesemua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.


(Tertuduh Norsham Ahmad, 51 tahun, membuat pengakuan itu sejurus kesemua kertas pertuduhan
dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan)

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, Melaka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh dikatakan menerima suapan berkenaan menerusi transaksi atas talian di tiga akaun miliknya dan anaknya serta seorang lagi individu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lima lokasi di Masjid Tanah, Alor Gajah Ayer Keroh, Bukit Baru dan Malim Jaya, Melaka antara 16 Januari 2016 hingga 13 Mac tahun lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 kurungan A kurungan B Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 kurungan 1 akta sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Elesabet turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport perjalanan antarabangsa kepada mahkamah selain melaporkan diri di Pejabat SPRM negeri sekali setiap bulan.

11 April depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media Baharu