fb fb fb fb fb

Tipu projek ternakan ikan air tawar, lelaki dipenjara setahun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Februari - Seorang bekas kakitangan kerajaan dipenjara setahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki lebih RM100,000 berhubung projek ternakan ikan air tawar tahun lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fikri Abdul Manan, 41, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini. 

Dia didakwa menipu Mohd Noor Salleh, 63, dengan menjanjikan pulangan modal keuntungan yang banyak bagi projek ternakan ikan air tawar sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM110,030 di sebuah kedai kopi di Wangsa Maju di sini pada pukul 9 malam, 18 April 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh juga didenda. 

Mengikut fakta kes, setelah mengenali tertuduh selama hampir 10 bulan, mangsa terpedaya dengan janji pulangan keuntungan 20 peratus dan membuat 23 transaksi pembayaran berjumlah RM110,030 ke akaun Maybank milik isteri tertuduh. 

Selepas pembayaran, Fikri mengaku menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi dan berjanji dalam surat perjanjian untuk memulangkan wang itu, namun gagal berbuat demikian sehingga menyebabkan pengadu mengalami kerugian RM110,030.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M. Saravanan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah atas alasan mempunyai tanggungan keluarga dan diisytiharkan muflis.  - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN