KUALA LUMPUR, 22 April- Tiga individu warga asing termasuk seorang wanita ditahan pihak berkuasa selepas disyaki terbabit dalam satu kejadian pergaduhan yang berlaku di kawasan pelancongan Genting Highlands baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Penguasa Polis (SUPT) Zaiham Mohd Kahar menerusi satu kenyataan memaklumkan, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 49 tahun itu ditahan sekitar jam 3.05 pagi, Khamis lalu oleh pasukan polis bantuan Genting Highlands.
“Siasatan awal mendapati insiden pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek kerana gagal mendapatkan bilik hotel, meskipun telah membuat bayaran sebanyak RM1,500,” katanya.
Tambah beliau, semua suspek telah direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 dan 448 Kanun Keseksaan yang berkaitan pergaduhan dan pencerobohan, serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan melibatkan dokumen dan tempoh sah tinggal.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut memandangkan siasatan masih dijalankan.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian ramai selepas rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.