fb fb fb fb fb

Tiga premis perniagaan warga asing di Selayang disita

Operasi yang dijalankan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Selayang malam tadi

SELAYANG, 15 Ogos- Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita tiga buah premis di sini yang digunakan oleh warga asing bagi menjalankan perniagaan tanpa kelulusan dan menggunakan lesen milik warga tempatan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, serbuan semalam dijalankan bermula pukul 8.00 malam itu mendapati premis tersebut dikendalikan warga Myanmar, Thailand dan Bangladesh yang juga merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kegiatan itu terbongkar hasil risikan daripada Bahagian Penguatkuasa dan Keselamatan MPS.

"Kita juga mendapati terdapat pihak-pihak berkaitan melaksanakan satu pusat hiburan tanpa kelulusan, ia berselindung di belakang atau tingkat paling atas setiap bangunan premis perniagaan ini.

"Mereka beroperasi tanpa kelulusan dan membuat bilik-bilik khas atau bilik tertentu sebagai pusat karaoke," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan di sini malam tadi.

Dalam operasi itu, MPS dengan kekuatan seramai 26 anggota turut merampas pelbagai jenis minuman keras, peralatan karaoke dan kamera litar tertutup (CCTV).

Rampasan dilakukan di bawah Undang-Undang Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007 dan Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MPS) 2007.

1508 MPS SERBU PREMIS 2
Adi Faizal Ahmad Tarmizi

SITI AISHAH MD ISA