JITRA, 15 Ogos- Seorang pemandu lori ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya dalam sekatan di Plaza Tol Jitra, malam tadi.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata hasil pemeriksaan mendapati, pemandu lori berusia 30-an itu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barang-barang (GDL) yang sah.
"Lesen kenderaan lori yang dipandu juga telah tamat tempoh dan kenderaan tersebut tidak dilindungi sebarang insurans.
"Lebih mengejutkan, ujian saringan awal dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut menyertai operasi tersebut mendapati, pemandu berkenaan positif dadah," katanya.
Beliau berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan menyita kenderaan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain adalah selamat dan terkawal.
Kata Stien, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang lalu lintas, khususnya melibatkan penyalahgunaan dadah ketika memandu.