fb fb fb fb fb

Tiga lelaki termasuk dalang kes samun bersenjata api ditahan

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abu Samah Mohd Noor menunjukkan barangan yang dirampas dari kegiatan kes samun bersenjata api di beberapa kedai emas.

ALOR SETAR, 18 Disember- Tiga lelaki termasuk seorang dalang disyaki terlibat dalam kegiatan kes samun bersenjata api  di beberapa kedai emas sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sejak 2009, berjaya ditahan polis.
 
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abu Samah Mohd Noor berkata, dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu, pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun di tiga negeri berkenaan.

Pada 3 Disember lalu, polis dimaklumkan mengenai satu kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Langgar di sini dilakukan oleh seorang lelaki tempatan yang menggunakan senapang pam dan sebilah kapak dan telah berjaya melarikan dua dulang berisi 32 utas rantai emas yang dianggarkan berjumlah RM178,000.

“Ekoran itu, Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah telah menahan suspek yang berusia 54 tahun di kawasan Alor Setar pada Selasa lalu yang mana merupakan dalang dan suspek utama dalam kesemua kes samun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek yang menjalankan perniagaan gazebo itu melakukan kegiatan samun secara bersendirian dan hanya pernah melakukan kegiatan itu secara berkumpulan sekali sahaja iaitu pada 2009.

Susulan penahanan suspek utama itu, beliau berkata dua lelaki berusia 52 dan 54 tahun, ditangkap di sekitar Pulau Pinang pada Selasa dan Khamis lepas yang berperanan sebagai pembeli emas hasil samun tersebut.

“Polis telah berjaya merampas satu laras senapang pam, tiga pucuk pistol, peluru, sebilah kapak, mesin pelebur emas, sebuah kereta jenis Proton Wira dan wang tunai berjumlah RM5,500," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok.


 

ZEHRA BINTI ZAMBRI