LUMUT, 18 Disember- Sebanyak 496 set bubu naga bernilai hampir RM50,000 dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam serbuan di Jeti Pangkalan Baru, Pantai Remis, di sini, hari ini.
Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, serbuan Op MARDOF diadakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan (DOF) dan polis berkekuatan 32 pegawai serta anggota.
Menurutnya, kegiatan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan bubu naga secara haram terbongkar selepas risikan dan aduan komuniti maritim di sekitar kawasan terbabit.
"Semua hasil rampasan dibawa ke Pejabat Perikanan Kampung Acheh untuk siasatan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
"Nelayan dinasihatkan tidak menggunakan bubu naga kerana ia boleh mengganggu habitat marin untuk jangka masa panjang,"
katanya dalam kenyataan, hari ini.
Op MARDOF adalah salah satu inisiatif kerjasama strategik dalam memperkasakan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan siasatan terutamanya berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.