fb fb fb fb fb

Penjual santan ditahan, terlibat 24 kes pecah rumah

Abu Samah (tengah) menunjukkan hasil rampasan daripada suspek yang dipercayai terlibat dalam 24 kes pecah rumah di Kota Setar dan Kubang Pasu.

ALOR SETAR, 18 Disember- Di sebalik bekerja sebagai pembantu kedai menjual santan, seorang lelaki ditahan polis disyaki terbabit dalam 24 kes pecah rumah di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu sejak September lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abu Samah Mohd Noor berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu merupakan suspek utama ditahan di sebuah premis perniagaan menjual santan kelapa di Kubang Pasu, pada Rabu lalu.

Beliau berkata penahanan suspek selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah di Jalan Jalai Jaya, Kepala Batas, Jitra pada 10 Disember lalu melibatkan kerugian berjumlah RM10,000.

"Modus operandi pecah rumah ini adalah mensasarkan rumah kediaman kosong yang tiada penghuni dan memanjat bumbung dan masuk melalui siling rumah yang dipecahkan. Pihak polis Kedah peka dengan keresahan masyarakat dan sentiasa memantau kegiatan pecah rumah yang berleluasa ini," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Beberapa barangan dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah dilakukan suspek turut dirampas antaranya 75 telefon bimbit pelbagai jenama, empat Ipad, 92 jam tangan, 50 cincin, 36 gelang, empat pasang butang baju uniform tentera dan satu beg mengandungi siling pelbagai jenis.

Polis turut merampas sebilah pisau bersarung bersaiz 20 sentimeter (cm) yang diselit di pinggang suspek dan suspek ditahan reman sehingga Rabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dengan niat mencuri serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

ZEHRA BINTI ZAMBRI