fb fb fb fb fb

Seludup rokok dan minuman keras, JKDM tahan enam pesalah

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (kiri) bersama pegawai menunjukkan barang rampasan

KOTA BHARU, 19 Disember- Seorang lelaki warga India antara enam yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam Op Label Palsu kerana menjual rokok seludup dan minuman keras di premis sekitar Gua Musang.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata lelaki warga India berkenaan yang berusia lingkungan 30-an ditahan reman selama 14 hari sehingga 26 Disember depan.

Beliau berkata operasi yang dijalankan selama tiga hari yang bermula 11 Disember lalu, turut menahan seorang lelaki orang asli yang terlibat sebagai penjual rokok seludup dan minuman keras di sebuah premis di Gua Musang.

Dalam operasi tersebut, pihaknya berjaya merampas 165,008 batang rokok seludup, 279.26 liter minuman keras dan sebuah kenderaan dipercayai kereta klon dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM176,959 termasuk cukai.

Lima lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 50-an bagaimanapun dibebaskan, masing-masing dengan jaminan antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap seorang.

"Kesalahan warga India itu ialah menjual rokok dan menjual minuman keras. Maka, dia akan didakwa bawah Akta Eksais Rokok iaitu Akta Kastam yang membolehkan tahanan reman selama 14 hari bermula 13 Disember hingga 26 Disember 2023," kata Wan Jamal dalam sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Wisma Kastam Padang Bongor, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan sama ada dagangan tersebut dibawa masuk melalui jalan laut atau dari negeri-negeri di sebelah barat Semenanjung.

Kes melibatkan rokok dan kenderaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala kes melibatkan minuman keras disiasat bawah Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM