fb fb fb fb fb

Polis Johor serbu kilang simpan arak tanpa cukai

Raiz Mukhliz Azman Aziz menunjukkan pati arak yang dirampas pihaknya

MUAR, 19 Disember- Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan arak tanpa cukai apabila sebuah kilang diserbu dan menahan dua lelaki warga tempatan di Bukit Bakri, sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil serbuan merampas sebanyak 451 kotak dipercayai tidak bercukai, 13 tong plastik biru mengandungi 200 liter cecair disyaki pati arak serta dua buah lori dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM331,888.

"Satu suspek adalah pemandu lori, dia dakwa terima tawaran kerja bawa barang melalui WhatsApp, mengarahkan dia pergi ke Klang (Selangor) untuk ambil barang di sana. Dia dakwa tidak tahu barang apa yang dia ambil dan bawa ke kilang tersebut.

"Suspek satu lagi adalah mastermind kes, kilang tersebut milik rakan dia, dia pinjam ruang untuk turun barang di kilang. Kilang itu kilang sah," katanya dalam sidang media hari ini.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 tahun kini direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki warga tempatan, 40, ditahan kerana disyaki terlibat dalam menyimpan mercun tanpa permit sah di sebuah kilang di Bakri, sini, minggu lalu.

Sebanyak 149 kotak mercun pelbagai jenis bernilai kira-kira RM83,550 dirampas.

Ia dipercayai digunakan untuk pasaran tempatan sempena perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

SITI AISHAH BINTI MD ISA