SELANGAU, 13 November - Polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu operasi khas di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan menerusi Op Tapis Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
"Kesemua suspek ditahan di lokasi berasingan di sepanjang laluan utama daerah Selangau, sebelum pemeriksaan menemukan satu tiub keratan penyedut minuman lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine pada setiap individu," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan ketiga-tiga mereka positif dadah jenis amphetamine dan ganja.
Operasi yang dijalankan dari 12 tengah hari hingga 4 petang itu turut membawa kepada rampasan 1.19 gram dadah dengan nilai anggaran RM300.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai buruh direman empat hari hingga 17 November bagi membantu siasatan.