LABUAN, 14 November - Enam individu ditahan dalam OP Dandan dan OP Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar pusat bandar Labuan, baru-baru ini.
Menurut Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai, kesemua yang ditahan terdiri wanita warganegara Filipina; disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana gagal mengemukakan dokumen atau pas kerja yang sah.
"Dua saman saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.
"Semua tahanan ditempatkan di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan.
Tegas beliau, operasi penguatkuasaan akan dilaksana secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.