JOHOR BAHRU, 16 Mac - Polis menahan tiga lelaki berusia 15 hingga 37 tahun di lokasi berasingan sekitar Pasir Gudang, di sini hari ini kerana disyaki memukul dan menculik seorang remaja lelaki yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, insiden penculikan serta menyebabkan kecederaan itu berlaku di kawasan Taman Perumahan Kota Masai, Pasir Gudang, kira-kira lima petang semalam.
Video berdurasi satu minit 14 saat tular di media sosial, Facebook memaparkan mangsa berumur 17 tahun dipukul dengan objek dipercayai topi keledar, sebelum ditarik masuk ke dalam bonet kereta lalu dibawa pergi dari lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke sebuah rumah lain di kawasan berhampiran lalu dipukul dengan kayu cota dan beberapa objek lain.
Mangsa cedera lebam di pipi kanan, leher, bahu, belakang badan serta mengalami pendarahan pada bahagian kiri telinga.
Salah seorang daripada suspek mempunyai 26 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah, manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek terbabit positif dadah jenis methamphetamine.