fb fb fb fb fb

Bot nelayan Vietnam ditahan, rampasan lebih RM1.7 juta

Bot nelayan asing yang ditahan pada jarak 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman, Khamis lalu

KUANTAN, 16 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menahan sebuah bot nelayan asing (BNA) pada jarak lebih kurang 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman pada petang Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab menerusi kenyataan berkata, ketika menjalankan rondaan penerbangan di sekitar perairan Pahang, pihaknya telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan yang mencurigakan.

Aset kapal Maritim Malaysia yang terlibat dalam rondaan Op Makmur dan Op Tiris diarahkan untuk memeriksa bot tersebut.

"Menyedari kehadiran kapal maritim, bot tersebut cuba untuk bertindak melarikan diri kerana enggan memberikan kerjasama.

"Setelah berlaku situasi kejar-mengejar lebih 1 jam, bot nelayan terbabit berjaya dipintas seterusnya ditahan sebelum dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut", katanya.

Beliau berkata hasil penggeledahan mendapati enam kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun berada di atas bot yang kesemuanya adalah lelaki warga negara Vietnam.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta mengemukakan lesen bot yang meragukan, selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia", katanya.

Kesemua mereka ditahan termasuk bot beserta 250 kilogram hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.

Hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600 bagi setiap kru sekiranya disabit salah.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim supaya terus menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga terhadap pasukan penguat kuasa bagi mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut khususnya melibatkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999", menurut kenyataan itu.

ROSLINA BINTI DIN