fb fb fb fb fb

Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman mati enam lelaki bunuh Kevin Morais

FOTO FAIL

PUTRAJAYA, 14 Mac- Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap enam lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.

Mereka terdiri daripada bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34; serta S Nimalan, 31.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan yang difailkan enam lelaki berkenaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap kesemua lelaki berkenaan.

Hakim Hadhariah berkata setelah meneliti kesemua alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi dan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, mahkamah Rayuan mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kekhilafan dari segi undang-undang dan fakta.

Hakim Hadhariah berkata kejadian membunuh dirancang rapi dan keadaan mayat si mati masa dijumpai menunjukkan kekejaman kesemua tertuduh.

Kesemua tertuduh kini mempunyai satu lagi peluang untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE