ALOR SETAR, 19 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki tempatan selepas dipercayai cuba menyeludup 6,000 liter minyak diesel di kedudukan 0.6 batu nautika utara Pulau Langgun, Langkawi pukul 11.00 malam pada Ahad.
Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata pihaknya telah menahan sebuah bot nelayan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh Kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.
"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang yang dibuat di atas bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.
"Anggota penguatkuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Romli, kesemua lelaki berusia antara 32 hingga 40 tahun itu dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk siasatan lanjut.
Menurut Romli diesel berjumlah 6,000 liter yang dianggarkan bernilai hampir RM13,000 itu turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.