fb fb fb fb fb

Terengganu laksana hukuman sebat ke atas buruh binaan kerana khalwat

FOTO HIASAN

KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Seorang buruh binaan menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas disabitkan kesalahan berkhalwat buat kali kedua.
 
Lelaki berusia 42 tahun dari Kemaman itu dijatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 atas kesalahan melakukan khalwat bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat tiga sebuah premis di Kemaman pada 25 Januari lalu.

Soal siasat mendapati pasangan tersebut tiada hubungan suami isteri dan mahram.
 
Keputusan dibuat Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu  Pindaan 2022 yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.
 
Lelaki itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
 
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 menetapkan kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.

Sebelum ini, dia pernah disabitkan kesalahan sama mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu Pindaan 2001 pada 11 Julai lalu.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Muhamad Khasmizan Abdullah, manakala lelaki tersebut tidak diwakili peguam. 

SITI AISHAH BINTI MD ISA