fb fb fb fb fb

Tiga lelaki dicekup, disyaki terbabit samun, ragut warga emas

Foto PDRM

KOTA BHARU, 4 November - Tiga lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki terbabit kejadian samun ragut warga emas di Nilam Puri, di sini Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff memberitahu, kejadian pada pukul 8.15 pagi itu berlaku ketika mangsa, wanita berusia 69 tahun hendak melintas jalan.

"Mangsa dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal sebelum pembonceng motosikal terbabit turun dan merentap beg tangan milik mangsa.

"Warga emas itu cuba mendapatkan semula beg tangannya, namun dia terjatuh di tepi jalan. Kedua-dua suspek melarikan diri," jelasnya.

Superintenden Wan Ruzailan berkata, bertindak pantas atas maklumat diterima, pasukan dari Balai Polis Nilam Puri berjaya menahan seorang lelaki tempatan, iaitu pemilik motosikal yang digunakan suspek ketika kejadian.

Menurut beliau, penahanan dibuat pada pukul 7.53 malam Isnin.

Susulan penangkapan itu, polis kemudian menahan dua lagi lelaki yang dipercayai rakan suspek pertama.

"Hasil saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphemine.
 
"Kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 30 itu direman tujuh hari sehingga 10 November ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN