BESUT, 4 November - Seorang guru dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki.
Hakim Ahmad Fadhli Mahmud menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Anuar Yusoff selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie dikemukakan pihak pendakwaan.
Hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang hukuman dijalankan selain berada bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee manakala tertuduh pula diwakili peguam Nik Ismail Nik Lah.