KUALA LUMPUR, 11 Januari- Dua kakitangan dan seorang bekas kakitangan agensi sebuah kementerian ditahan reman kerana dipercayai terlibat amalan rasuah dalam mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Ketiga-tiga suspek ditahan sekitar 3.30 hingga 5.00 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi rakaman keterangan untuk membantu siasatan kes.
Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dibuat susulan operasi dijalankan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader pada Rabu lalu yang turut membawa kepada penahanan lapan individu termasuk empat pengarah syarikat dan seorang pengarah agensi sebuah kementerian.
Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai-pegawai agensi tersebut dipercayai bersekongkol dengan syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank.
Syarikat berkenaan turut mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak, menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom.
Berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit.
Kes disiasat bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.