fb fb fb fb fb

Dua bot nelayan ditahan langgar syarat lesen

Foto Maritim Malaysia Selangor

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua bot nelayan tempatan bersama 10 individu termasuk lapan kru warga asing kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran dalam insiden berasingan di perairan Sungai Janggut dan Pulau Pintu Gedong.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, sebuah bot ditahan pada kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Sungai Janggut, pada pukul 2.50 pagi.

"Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tekong warga tempatan berusia 30 tahun serta empat kru termasuk tiga warga Myanmar, berusia lingkungan 39 hingga 46 tahun dan ketika ditahan mereka sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

"Tiga awak-awak warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kebenaran kerja di atas vesel berkenaan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, pihaknya turut melakukan tangkapan ke atas sebuah lagi bot pada kedudukan 15.9 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, kira-kira pukul 1.00 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan mendapati lesen vesel terbabit telah tamat tempoh dan pengusaha bot menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.

"Lima warga Myanmar termasuk tekong berumur 31 hingga 47 tahun turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah," tambah kenyataan itu.

Kesemua nelayan, dua bot dan hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI