fb fb fb fb fb

Tiga individu dikenakan denda RM10,000 setiap seorang

Tiga individu termasuk pemilik syarikat dijatuhkan hukuman denda RM10,000 setiap seorang

ALOR SETAR, 16 Januari- Tiga individu termasuk pemilik syarikat dijatuhkan hukuman denda RM10,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Perkara itu disebabkan melakukan penipuan dalam pembayaran cukai kereta mewah di Langkawi sehingga menyebabkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
 
Kesemua tertuduh iaitu Yeoh Ee Tat, 56 tahun; Mohd Haiqal Mohd Sebrie, 33 tahun; dan Teh Wei Li, 52 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar Rohatul Akmar Abdullah, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh diarah penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
 
Bagaimanapun, semua tertuduh membayar denda yang dikenakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ee Tat merupakan pemilik syarikat kenderaan import didakwa menggunakan dokumen palsu surat akuan bertarikh 26 Ogos 2018 apabila memasukkan nama seorang individu, Teong Teck Leong sebagai pemastautin Langkawi untuk membeli sebuah kereta mewah jenis Bentley Bentayga.
 
Tertuduh turut didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport pada 1 Disember 2021 menyebabkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenakan bayaran duti sebanyak RM422,461.27 ke atas kenderaan mewah yang mahu dibawa keluar dari Langkawi.
 
Manakala Mohd Haiqal yang bekerja sebagai 'runner' syarikat kenderaan import pula didakwa dengan curang menggunakan dokumen Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport bagi urusan penilaian kereta Ferrari 458 Speciale milik Soh Weng Thiam dan McLaren 650S milik Loke Yoon Mink.
 
Berikutan pengisytiharan individu berkenaan sebagai pemastautin Langkawi, JKDM mengenakan bayaran duti ke atas kereta Ferrari sebanyak RM299,614.20 dan RM357,393.55 ke atas kereta McLaren untuk dibawa keluar dari Langkawi pada tahun 2021.
 
Manakala, Wei Li yang juga bekerja sebagai 'runner' syarikat kenderaan import, didakwa dengan curang menggunakan dokumen Borang Kastam Perisytiharan Barang-Barang Yang Diimport bagi urusan penilaian kereta Porsche 911 GT2 RS milik individu Bernama Mubarak Hussain Akhtar Husin.
 
Berikutan pengisytiharan pemilik sebagai pemastautin Langkawi, JKDM mengenakan bayaran duti sebanyak RM598,442 ke atas kenderaan mewah terbabit untuk dibawa keluar dari Langkawi pada 2021.
 
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI